Pages

Monday, November 22, 2010

Allah mencintai kita





Bismillahirrahmaanirrahiim.

Siapakah yang lebih mencintai kita selain ALLAh SWT? Maha Suci Bagi ALLAH SWT!

Secara normalnya, apabila kita mengetahui seseorang mencintai kita dalam diam, maka hati kita akan terusik untuk menyiasat dan kalau boleh akan meraih cinta seseorang yang mencintai kita dalam diam itu dengan sebaiknya. Itu lumrah, manusia cinta pada manusia, manusia cinta pada Tuhan.

Bercakap soal cinta, hampir semua orang pandai. Cinta itu membahagiakan. Cinta itu pendorong untuk terus hidup. Cinta itu memberikan keajaiban. Dan macam-macam lagi jawaban yang akan membuat kita tersenyum sendirian.

Cinta itu indah bukan.

Tetapi bagaimana kalau ALLAh sangat mencintai hamba-Nya? Pelik? Aneh?

ALLAh Sebenarnya Mencintai Kita, Manusia

Petang tadi, saya terbaca satu hadith. Dan mashaALLAh, hati saya benar-benar seakan-akan terpukul dengan keindahan hadith tersebut. Betapa ALLAh memuliakan manusia yang dicintaiNya.

Sahabat, mari sama-sama membacanya bersama saya.

“Jika ALLAh mencintai seseorang, Dia akan berkata, ‘Jibril, Aku mencintai Fulan, maka cintailah dia.’ Jibril kemudian berseru kepada seluruh penghuni langit, ‘Sesungguhnya ALLAh mencintai Fulan, maka cintailah dia..” – Hadis Riwayat Ahmad

Subhanallah.

Membaca hadith di atas, tidakkah bibir anda tergerak untuk terus mengucapkan takbir atau tasbih?

Bila ALLAh mencintai seseorang hamba, maka para malaikat juga akan mencinta hamba tersebut. Dan sebenarnya, manusia yang dicintai ALLAh itu sangat harum namanya di kerajaan Langit.

Cinta ALLAh itu ada dimana-mana. Baik dalam kenikmatan atau dugaan dalam hidup.

“ALLAh turun ke langit dunia setiap malam, tepatnya pada sepertiga akhir malam. Dia lalu berkata, ‘Akulah Tuhan. Siapa yang berdoa kepada-Ku, akan Ku kabulkan. Siapa yang meminta pada Ku, akan Aku penuhi. Siapa yang memohon ampunanKu, Aku ampuni.’ Begitulah seterusnya hingga fajar menyingsing.” – Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad

Bagaimana hendak bertemu dengan ALLAh pada setiap malam? Dengan solat-solat sunat dan ibadah-ibadah lain. Untuk bermunajat pada waktu sepertiga malam bukan mudah bagi semua orang, dan ALLAh sememangnya tahu akan itu. Dan mungkin disebabkan itu, ganjaran yang besar menanti hamba-Nya yang setia bermunajat dikala orang lain nyenyak dibuai mimpi. Buktinya, fahamkan hadith di atas.

Apa yang ingin saya sampaikan untuk kita semua adalah, ALLAh itu setia mencintai kita, yakni hamba-Nya yang bernama manusia. ALLAh sifatnya Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tetapi kita manusia ini sahaja yang selalu mengabaikan percintaan dengan ALLAh.

Sehingga saat ini, masihkah hati kita tidak disapa dengan cinta ALLAh?

Cinta ALLAh Bersama Kesusahan dan Kenikmatan

Mungkin ada manusia yang akan bertanya seperti ini, “Apa bukti ALLAh mencintai aku sedangkan hidup aku ini penuh dugaan dan hanya merasa bahagian sekejap sahaja. Orang lain bahagia je aku tengok. Aku sentiasa berendam airmata. Apa buktinya?!”

Hei sahabat. Bertenang. Lapangkan dada. (sambil tepuk-tepuk bahu dia)

Kena ingat ni, ALLAh tidak pernah zalim terhadap manusia. Seperti yang saya cakap kat atas tadi, kasih sayang ALLAh SWT sentiasa bersama hamba-hamba-Nya ketika dalam kesusahan mahupun dalam senang. Cuma sesekali, ALLAh itu ingin menegur kita yang mungkin lalai dalam hubungan percintaan dengan ALLAh.

Boleh tak saya cakap, segala dugaan adalah pembersihan terhadap dosa-dosa kita?

Sebab saya yakin dengan hadith ini,

“Segala sesuatu yang menimpa seorang muslim, baik resah, gelisah, derita, penyakit, hingga tertusuk duri sekalipun, adalah menjadi penghapus kesalahan-kesalahannya (dosa).” – Hadis Riwayat Bukhari

Sahabat semua bagaimana?

Baik. Begini, segala dugaan, musibah yang menimpa seseorang itu adalah peringatan dari ALLAH SWT. Mungkin juga kerana kita kurang beramal ibadah, lalai dalam kesenangan, lalu ALLAh datangkan pula kesusahan. Mungkin juga kerana kita selalu mengingati ALLAh dalam masa-masa yang tertentu sahaja, maka ALLAh datangkan sesuatu sesuai dengan kehendaknya.

Seakan-akan, kita hendak diberitahu bahawa, ALLAh itu sentiasa ada di SANA.

Maka, musibah itu bukan semata-mata kemurkaan ALLAh, melainkan ada kasih-sayang untuk kita didalamnya.

Bukanlah ALLAh merasa sunyi tanpa cinta manusia, kerana sifat-Nya Maha Keka Berdiri Dengan SendiriNYA, tetapi sebenarnya ALLAh ingin memberi kepada kita peluang demi peluang untuk saling bercinta denganNYA agar kita memperolehi rahmat dan kasih-sayang yang hakiki.

Dan yang hakiki, pastinya di syurga. MashaALLAH. Hebat, bukan?

Bagaimana Jika Kita Dicintai

Manusia apabila dicintai, pasti hatinya akan selalu berbunga-bunga. Orang kata, tidur sangat lena, makan pun sangat kenyang, mandi pun berjam-jam. Hehe. Itu baru cinta manusia dengan manusia.

Jadi, bagaimana apabila cinta ALLAh kepada manusia?

Bukankah sepatutnya kita merasa bahawa hati bukan setakat berbunga-bunga, tapi menjadi taman bunga!

Cinta manusia selalu sangat bermusim, tetapi sebaliknya cinta ALLAh, akan kekal dan makin bertambah seri. Buktinya, seseorang itu akan terus menjadi seorang hamba yang soleh lagi beriman.

Saya sebenarnya bergetar apabila bertanya akan soalan ini kepada diri saya sendiri tika bersendirian petang tadi. Dan saya ingin berkongsi pertanyaan ini dengan sahabat pembaca semua,

“Layakkah kita/kitakah yang menjadi manusia yang dicintai oleh ALLAh SWT?”

Wallahu’alam. Tetapi satu perkara yang kita mesti yakini adalah, ALLAh sentiasa ada apabila kita datang kepadaNya. Dan belum terlambat lagi untuk kita membina hubungan percintaan dengan ALLAh SWT.

Mari memperbaiki diri dan orang lain!

Masihkah ALLAh menerima kebaikan hamba-Nya? Maka ALLAh sudah menjawab,

“..ALLAh telah menetapkan ke atas diri-Nya kasih sayang..” – al An’am : 12

Mari kita didik hati. Kita mentaati dan menyembah ALLAh kerana sifatNya yang Maha Pengasih. Dan kita takut pada ALLAh kerana kemurkaan dan azabNya yang kita tidak akan dapat tanggung.

Keywords : Taat kerana cinta. Takut kerana azab.

Peringatan untuk diri saya terutamanya. Doakan saya.

Semoga ALLAh merahmati.


sumber: cintailahi.com

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 


JKM KSS UTM,KL 08/09

JKM KSS UTM,KL 08/09

JKM KSS UTM,KL 09/10

JKM KSS UTM,KL 09/10