I feel lost inside myself.............................and I believed it's still left at Mecca and Madina, Allah! |
Hari ini sudah masuk hari ke-11 setelah kembalinya kami dari Tanah Suci. Dan tahap kerinduan itu masih tidak berubah dan tidak berubah.
Masih ku ingat,
Rasulullah bersabda, “Di antara rumah dan mimbarku adalah taman dari taman-taman surga, dan mimbarku di atas telagaku”.
Oh. Rupanya pintu ke Raudhah sudah dibuka. Tetapi jemaah Malaysia masih tidak dibenarkan untuk masuk. Kami menanti dengan penuh kesabaran menunggu isyarat kebenaran masuk bagi jemaah Malaysia dan Indonesia. Hampir 40 minit berlalu, masih belum dipanggil jua. Sehinggakan hanya tinggal jemaah dari beberapa negara sahaja. Teringat sewaktu berbual dengan Ustazah Naimah di Pusat Islam, UTM, beliau ada memberitahu, jemaah kita biasanya akn diberi kebenaran masuk pada waktu-waktu akhir. Sewaktu jemaah dari negara Iran (kalau tidak silap, saya sudah terlupa) dipanggil masuk, Azyan menoleh ke arah saya.
" Nak ikut dorang tak ? jom. "
Kami kemudiannya mengambil keputusan untuk mengikut jemaah tersebut ke Raudhah memandangkan jemaah kita masih lagi belum dipanggil. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan ke Raudhah kami tidak ditahan oleh petugas. Padahal kiri dan kanan kami dikelilingi oleh petugas yang memakai serba hitam itu.
" Hajja, Hajja! Duduk, duduk! "
Ayat ini begitu sinomim dan menjadi bahan bualan kami sesama sendiri. Mungkin kerana slang sebutan mereka yang kelihatan lembut dan bercampur dengan slang arab.
Berjalan dan terus berjalan. Memerhati sekeliling dan mata saya tertumpu di bahagian karpet. Bahagian karpet yang berwarna hijau itulah raudhah, manakala karpet berwarna merah masih lagi kawasan masjid. Kami semakin hampir. Selangkah, dua langkah kami semakin hampir dengan Makam Nabi Muhammad. Alhamdulillah, Allah izin kami untuk sampai ke sini.Tidak semena-mena air mata ini mengalir deras, tidak terbendung lagi. Saat ini,kita begitu dekat dengan baginda Nabi Muhammad S.A.W.
Apakah layak untuk umat-Mu ini berada di sini?
Sejauh mana aku mengamalkan sunnah-Mu?
Terasa begitu kerdilnya diri ini menjadi umat-Mu ya Rasulullah..Allahuakbar. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah bermain di bibir. Tidak lupa, salam yang dikirim sahabat-sahabat dan sanak saudara di Malaysia kepada baginda saya sampaikan. Sempat juga kami menunaikan solat sunat dua rakaat, berzikir dan berdoa. Berdoa di kawasan Raudhah antara doa yang paling mustajab. Disini, doa akan diangkat terus ke langit kepada Allah S.W.T tanpa perlu kepada perantaraan mahupun hijab. Insyallah, dengan izin-Nya, doa itu mudah untuk dimakbulkan. Kebiasannya, jemaah yang mengambil terlalu banyak masa untuk beribadat dan berdoa di kawasan raudhah akan diminta untuk keluar. Pandangan saya tertumpu pada seorang jemaah yang kelihatan sujud terlalu lama, ditarik tangannya oleh petugas supaya memberi peluang kepada jemaah yang lain. Setelah selesai semuanya, kami bergegas mencari jalan keluar. Pandangan saya beralih pula kepada kanvas yang menjadi pintu penghadang sepanjang kawasan Raudhah. Ada yang menulis nota-nota kecil seakan-akan doa. Ada yang menulis nama. Di satu sudut, kelihatan jemaah Syria yang sedang asyik menangis teresak-esak sambil mengucup tiang putih itu.
Rasulullah SAW pernah bersabda, “Shalat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih utama 1.000 kali dibanding shalat di masjid lainnya kecuali di Masjidil Haram dan shalat di Masjidil Haram lebih utama 100.000 kali shalat daripada masjid lainnya.”
" I feel lost inside myself, And I believed its still left there"
*Zulaikha Althafunnisa*
*Zulaikha Althafunnisa*
0 comments:
Post a Comment