Pages

Friday, October 25, 2013

Adakah dia?





Kadang hati resah,
Kadang hati gelisah,
kadang hati runsing,
kadang hati gundah,


Ya,
Mainan hati kadang menyakitkan,
Jiwa dan perasaan kadang memberontak,
jiwa remaja,
Begitulah,
Sukar lari dari mengejar cinta manusia,

Kadang terlintas dalam hati,
Jodoh itu pasangan,
Di usia begini,
Soal itu sering berlegar di fikiran,
Adakah aku sudah ketemu jodoh itu?
Siapakah dia?
Bilakah waktu itu tiba?
Sudah bersedia?
Ya,
Istikharah,
Allah,
Tuntun hati ini di jalanMu,
Sesungguhnya hanya Engkau yang layak atas segalanya..



*Nabila Raihan , 25 Oktober 2013, 11.22 pm*

Saturday, September 21, 2013

Konvo Silat dan Wajadiri Antarabangsa


Asalamualaikum semua.

Menaip dalam keadaan batuk tak henti ni ,feeling nya sangatlah tak best. Krohh kroh dari tadi. Dekat dua minggu jugak la gini. Tapi takpe taiplah sikit-sikit. Entry ni khas untuk konvo dan wajadiri minggu lepas. Ok. Kita mula dengan konvo dulu ye. Ini pengalaman kedua saya konvo. Kali pertama konvo dua tahun lepas untuk konvo diploma. Kali ni punya konvo totally lain sebab ini konvo silat. Majlis istiadat konvokesyen silat cekak ni dikhususkan untuk mereka yang telah lulus dalam ujian rendah persilatan. Alhamdulillah, penerima sijil dari utm dalam 22 orang. Dekat 500 orang juga yang hadir. Gelombang biru dan putih kelihatan memenuhi ruang dewan. Gelombang ni bukan sebab apa. Sebab semua pakai baju royal blue. Baju rasmi untuk konvo. Tiada unsur-unsur kepartian ye. Hehe.


Ada orang tanya " lepas dah konvo ni bella nak buat apa?. jadi tenaga pengajar pulak ke?" . Terdiam sekejap. Terasa bebanan tanggungjawab semakin berat. :O


"Allah.. Buat buah pun tak kemas. Ilmu pun tak seberapa. layak ke nak mengajar orang lain pulak?". Bermonolog sendirian.

Selesai sahaja penyampaian sijil, masing-masing sibuk bergambar. Maklumla. Bukan selalu kan. Saya pula lebih gemar memerhati gelagat manusia. Duduk di satu sudut. Terdetik dalam hati. "Ya, aku tau. Majlis ini bukan sahaja untuk meraikan kejayaan. Tapi amanah yang terpikul selepas ini lebih besar. Itu yang harus kita lihat.". Gaya berfikir ala-ala masa jadi presiden gitu. Ahh. Kan dah terkenang memori-memori time jkm dulu. :(


Keesokan harinya, kami terlibat dalam Wajadiri Silat Cekak Pusaka Hanafi pringkat Antarabangsa kat plaza Alam Sentral Shah Alam. 12 orang skuad utm terlibat dalam kategori demo bermuzik dan demo penerangan. Masa mula-mula Hana mesej tanya siapa yang berminat nak join wajadiri antarabangsa tu, laju je tangan ni taip nak join. Dengan harapan yang tinggi supaya terpilih, alhamdulillah dapat. :) Training hanya kurang dari seminggu. Persiapan pun tidaklah seperti mana persiapan wajadiri peringkat IPT sebelum ni.

Malam sebelum hari kejadian, rehasel penuh dibuat bersama-sama ahli dari cawangan UTHM. Boleh tahan best sketsa yang mereka lakonkan. Di hari kejadian pula, jam 8.30 pagi, kami sudah bersiap untuk check out dari apartment. Berbekalkan air Vico dan roti telur sekeping sebagai alas perut pagi, kami menapak ke lokasi program. Tidak berapa lama selepas itu, shoping kompleks ini sudah mula dibanjiri dengan pesilat-pesilat yang berbaju uniform dan baju korporat jom silat.





Lebih kurang jam 11 pagi, kontinjen pertama dipanggil untuk persembahan. Turn kami dari kontinjen johor adalah yang keenam, lebih kurang jam 2 petang. Alhamdulillah, kontinjen johor berjaya untuk mendapatkan pingat emas bagi kategori demo penerangan,  pingat gangsa bagi kategori demo bermuzik dan sketsa. Kepulangan kali ini juga adalah kepulangan yang berisi seperti mana semasa wajadiri peringkat ipt tempoh hari.


Satu perkara yang saya lihat dengan penganjuran program ini di kawasan awam, terasa seperti ada satu perasaan yang tak dapat dijelaskan dengan kata-kata. ya. Bangga mungkin. Melihat plaza alam sentral dibanjiri oleh mereka-mereka yang berbaju silat. Tapi bangga bukan dengan perasaan riak. Menjadi sebahagian daripada keluarga silat cekak, merupakan satu lembaran baru dalam hidup  saya. Yang dahulunya langsung tidak pernah terlintas saya berada ditahap ini. Percaturan Allah meletakkan kami dalam keluarga ini tidak akan pernah sia-sia. Pastinya ada sesuatu yang menanti.

Wednesday, August 14, 2013

Resepi : Nasi Mandi Ala Hadramawt



assalamualaikum dam selamat petang.

Ok tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Harini Chef Nabila nak berkongsi resepi nasi mandi yang dimasak dua minggu lepas. Ekeke. dah dua minggu baru rasa nak post entry. Tak update la awak ni. Adoyai.             

Teruja nak post sebab masakan menjadi (kononnya). haha.Tapi mak dengan abah kata ok. Maksudnya ok la kan?

Kisahnya tetiba rasa nak masak nasi mandi ni sebab tengok Chef Ammar dalam Hidangan Barakah TV Alhijrah. Geram seyh tengok dia masak. Kalaulah tv tu bleh mengeluarkan bau, rasanya aku boleh kenyang setahun.

Tg Karang ni pekan je. Mana nya nak dapat kedai nasi arab. Maunya carik sampaui Shah Alam sana, berlambak lah kot. Ok ok. cik puan dan tuan-tuan sekalian pasti tidak sabar mahu memcuba resepi ni kan? Orang kata tak elok kedekut ilmu. Meh kita kita kongsi-kongsi resepi :P


Resepi Nasi Mandi

Saya tak guna lemon. Sebab takde jadi saya pakai limau nipis je. 
'Suka tak suka tak ?" :)


yang dlm aluminium foil tu arang. Ini cuma penambah perasa je kono macam masak guna dapur arang gitu.

sos ni pun kurang lengkap bahannya. Daun ketumbar takde. tapi tetap sedap. ekeke.

Bahan-bahan ayam:

1 ekor ayam ~ dibelah 2 dan di cuci bersih
1/2 sudu kecil serbuk ketumbar
1/2 sudu kecil serbuk jintan manis
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk kabsa ( lihat di bawah)
2 biji bawang besar ~ dihiris bulat
Garam
Sedikit pewarna kuning/ saffron ( kalau takde guna serbuk kunyit pun boleh)
Aluminium foil.

Cara penyediaan ayam:

1. Gaul rata ayam dengan semua bahan rempah, garam dan pewarna kuning. Perapkan dalam 15 minit.
2. Alaskan/balutkn bekas/dulang pembakar dgn aluminium foil. Kemudian susun hirisan bawang besar dan lemon atas foil tadi.
3. Letak ayam di atas bawang dan lemon tersebut. Tutup ayam tersebut dengan foil aluminium dan bakar pada suhu 250'c selama 1jam. Pada 10minit terakhir buka sedikit foil bahagian atas.
**Semasa ayam dibakar, ayam akan mengeluarkan air. Selepas 45 @ 50 minit, buka foil dan keluarkan air didalam ayam tersebut dan barulah bakar semula selama 10 minit atau sehingga ayam sedikit garing.
**Kuah dari ayam tadi, saya campurkan dgn saffron/pewarna kuning sebelum dimasukk
an ke dalam nasi.



Nasi: 

4 cawan/pot beras basmathi ~ rendam 20 minit dan toskan
3 camca besar minyak sapi (saya pakai minyak jagung)
4 1/2 cawan air atau secukupnya
1 biji bawang besar ~ hiris halus
3 ulas bawang putih ~ hiris halus
1 inci halia ~ hiris halus 
1/3 cwn kismis
Rempah tumis ~ 1 batang kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga, 5 kuntum bunga cengkih
Sedikit pewarna kuning
Garam secukup rasa.

Cara penyediaan nasi:
1. Panaskan minyak tumis rempah tumis, bawang putih, bawang besar dan halia hingga harum dan bawang layu. Masukkan kismis, goreng sebentar dan masukkan pula air, biar mendidih.
2. Bila mendidih, padamkan api dan tuang ke dalam rice cooker. Masukkan beras dan garam secukup rasa, kacau rata dan masak seperti biasa.
3. Bila nasi kering, buat lubang ditgh nasi dan letakkan foil. Masukkan 1 sudu minyak dan seketul arang yang telah dibakar. Tutup tudung periuk selama 2minit supaya aroma asap arang tadi meresap ke dalam nasi.
4. Buka semula tudung periuk dan keluarkan foil bersama arang tadi.
5. Titiskan 2-3 titik pewarna kuning, kacau/gembur nasi dan masak nasi sehingga masak.

Sos:

1 biji tomato ~ hiris
5 biji cili besar hijau (nk pedas tmbh lagi) ~ hiris
1 tangkai batang ketumbar ~ dihiris halus
Garam
Gula
Perahan lemon.
Cara penyediaan:

~ Kisar semua bahan dengan perahan air lemon, sekejap sahaja. Jangan sampai terlalu hancur.



Bahan - bahan rempah kabsa:
1 sudu makan bunga cengkih **
1 sudu makan lada hitam **
1 sudu makan jintan manis **
1 sudu makan jintan putih **
2 sudu makan biji ketumbar **
1 sudu makan buah pelaga **
1 sudu buah pelaga hitam (black cardamom pods) **
1 sudu makan serbuk cili
1 sudu teh kunyit

Cara penyediaan:

1. Goreng tanpa minyak bahan2 yg bertanda ** sehingga naik bau dan angkat.
2. Kemudian kisar semua bahan sehingga hancur.
3. Simpan rempah yg telah dikisar didalam bekas yg kedap udara.

Jika tiada buah pelaga hitam, boleh gantikan dgn buah pelaga biasa. Serbuk rempah ini boleh juga digunakan pada semua masakan ala arab termasuklah ayam dan daging.

p/s: sambil sambil masak tu jangan lupa berzikir ye.

Terima kasih kepada pemilik blog yang sudi berkongsi resepi ni. Semoga Allah merberkatimu. :)

Sunday, August 4, 2013

Nikmat di penghujung Ramadhan



Memburu udang di tepi muara,
Salam Lailatul Qadar buat semua.

Cewahh.

Disebabkan malam itu, saya bergerak sedikit lewat ke masjid. Jadi, terpaksa jadi minah rempit jap. Capai kunci motor, vroooom. Mak, abah dan adik terawih di surau. Memang kebiasaannya hanya terawih di surau yang hanya selang satu rumah dari rumah kami. Disebabkan teringin nak rasa terawih kat masjid, cakap dengan mak nak pergi sendiri. Masjid dan rumah jaraknya lebih kurang 5 minit kalau bawak motor dengan kelajuan 60 km. Ehehe.

Sampai je, kedengaran imam baru mengangkat takbir.

"Eh, macam suara Ustaz Azim la " Bisik hati.

Ustaz Azim ni masa Ramadhan yang lepas, boleh dikatakan hampir setiap malam dia jadi imam di surau kami. Lulusan sebuah univerisiti di Syria. Bacaannya lunak sekali ditambah pula dengan style bacaan seakan-akan Sheikh Muhammad Taha dan Ahmad Saud. Antara qari kegemran saya selain Sheikh Mishary dan Sudais. Allah. sedapnya suara...Tahun ini, Ustaz Azim cuma berkesempatan  sekali sahaja menjadi imam di surau kerana berkhidmat di masjid Tg Karang pula.


Malam kelmarin pula di imamkan oleh ustaz dari Narathiwat, Thailand. Satu  perkara yang saya perasan, selama tiga malam berturut-turut, tiga imam di tempat yang berbeza-beza membacakan surah yang sama semasa solat Terawih.                                    

3 hari lepas, imam di  surau.
Esoknya, Ustaz Azim .
Dan malam tadi Ustaz dari Narathiwat.





SurahAr-Rahman. Ya. Perasan ustaz baca surah ni sebab ada ayat ni. Surah yang terlalu banyak pengajaran dan  persoalan yang diajukan buat umat manusia sebagai peringatan.


 "Maka nikmat tuhan yang manakah yang kamu telah dustakan"



Lantas teringat beberapa perkara.

Mak : "Nape tak makan ikan ni. Masak kari ni sedapp "

Saya : " Alaa. Tak suka la ikan ni. Lembik lembik"


" Ala, ikan lagi kee? tak suka ikan laa "

" Masak mee lagi ke mak? boringnyaa "

" Tak lalu la tengok ikan ni. Tak suka ikan laut. Suka ikan sungai je"

Nikmat kurniaan Allah begitu luas. salah satunya nikmat ini.
Apakah kau tidah menyedarinya?
Apakah kau kufur dengan nikmat-mikmat itu?
Apakah yang kau lakukan untuk membuktikan yang kau mensyukuri nikmat?      
:'( sobsob.


Thursday, June 27, 2013

Berbicara soal hati. Berbisa.



Assalamualaikum.

Serius. Ini benar-benar serius.
Bila berbicara soal hati. Semacam ada panahan yang terus tembus tepat ke dada.
Bisanya bukan main.
Mainan hati.
Kadang kita alpa.
Sekejap ingat sekejap lupa.
Allah..


Betul kata pepatah. Jangan mengharap sesuatu yang belum pasti menjadi milik kita. 
Berdoa dan teruskan berdoa.
Mungkin "Dia" dan boleh jadi bukan "Dia"

Jaga tutur, perlakuan and the most important things >>hatimu. Please. :O

Teringat kata seseorang semalam, 
"target la macam mana pun, kalau Allah nak tetapkan begitu, begitulah". Kun Fayakun.




Semoga berjumpa dengan pilihan yang benar-benar sesuai.
Sekufu.
Soleh. 
Penyabar.
Ringan tulang.

Amin~

Sama-sama kita persiapkan diri. Perjalanan masih jauh lagi.. :)


Tuesday, June 18, 2013

Coretan Wajadiri (1)


Assalamualaikum.

Sementara mood  Wajadiri masih ada ni, rasanya seperti ingin mencoret sesuatu. Coretan lakaran diari kehidupan sepanjang sebulan training sehingga ke hari ini. Cewah.

Untuk membuat keputusan menyertai Karnival Wajadiri Nasional Peringkat IPT dan Sekolah 2013 ini, saya kira bukanlah sesuatu yang mudah. Faktor halangan utama dengan jadual final exam yang selang sehari sebelum tarikh kejohanan.Saya mula mencari jalan keluar. Ditambah dengan pujukan rakan-rakan dan desakan diri sendiri, akhirnya saya membuat keputusan untuk turut serta. Muktamad.

Bermulalah hari demi hari, latihan berjalan setiap petang. Ya. Bukan mudah untuk mendisplinkan diri. Antara perkara yang saya lihat dalam silat adalah faktor displin yang diterapkan dalam setiap individu. Saya akui. Kadang saya tewas dengan disiplin waktu. Ahh. Malu. Training Wajadiri bukan seperti training-training biasa, bukan seperti training demo bukan seperti training SRP. Seringkali nilai disiplin ini ditekanan oleh pengurus dan tenaga pengajar. Stress, tertekan? Tipulah kalau tak rasa perasaan ni. Saya bukanlah atlet. Dahulunya saya bukanlah penggemar aktiviti sebegini. Kadang terpikir balik. Apa agaknya yang membuatkan saya tertarik dengan silat ini? (think)

Penangan Wajadiri membuatkan saya tersenyum sendiri. Seminggu sebelum kejohanan, disebabkan terlalu asyik menonton video Wajadiri yang lepas sehingga terbawa di dalam mimpi. Tersedar di alam nyata bila badan rebah di bawah katil. Aduhai. Boleh tahan tegang urat leher sampai terpaksa berurut dengan Mak Lang. Eheh.

Sehari sebelum Wajadiri, saya dan 3 orang skuad yang lain bertolak ke Kelantan sedikit lewat berbanding skuad yang lain kerana masih lagi bergelut dengan kertas dan pen di dewan peperiksaan. Habis sahaja exam, terus bergerak ke Sri Puteri menaiki bas ke Kuala Lumpur. Macam-macam halangan dilalui. Terasa macam sedang berjuang dalam rancangan Amazing Race gitu. Jam 7.00 malam turun dari TBS untuk menaiki KLIA Transit ke LCCT. Nak dijadikan cerita, pada waktu tu tiba-tiba perkhidmatan tergendala. Tiket flight jam 9.50 malam. Masing-masing dah buntu. Jadi, tiada pilihan lain. Kami terus bergegas ke KL Sentral untuk mendapatkan bas ke LCCT. Alhamdulillah ada. Naik sahaja bas, ingatkan dia nak terus gerak rupanya masih mahu tunggu beberapa penumpang yang lain. Jam menunjukkan 8.00 malam. Masih berbaki 1 jam 50 minit. Sorang demi sorang antara kami menebalkan muka pergi berjumpa dengan pemandu bas untuk meminta beliau supaya bergerak awal. Beliau memahami. Sampai di LCCT jam 9.38 malam. Jejak je kaki di sana terus memecut sepantas kilat. Ceh. Malu tu dah letak kat tepi. Sampai kaunter check in semua tutup. At last masih ada satu lagi kaunter yang buka. Alhamdulillah syukur sangat. Semua skuad yang ada di Kelantan masing masing dah risau kami ni tertinggal flight. Peristiwa ini mengingatkan saya dengan peristiwa semasa hampir tertinggal flight di Airport Jeddah bersama rakan- rakan GOP @ Arab Saudi tahun lepas. ;)

Di hari kejadian, mood masih lagi tidak stabil. Saya akui. Waktu bertanding, saya tidak mendapat fokus yang secukupnya sehingga tidak dapat membuat yang sehabis baik. Geram dengan diri sendiri. Saya lebih gemar mendiamkan diri waktu itu. Macam-macam perasaan timbul. Sampai saat ini saya merasakan saya tidak layak untuk pingat itu. Sungguh, saya tidak layak. Melihat kembali video tersebut, saya jadi malu. Saya sepatutnya mampu buat yang lebih terbaik. Namun perancangan Allah itu maha Hebat. Bagi saya kemenangan ini menjadikan diri terasa cukup kerdil. Masih banyak yang perlu dipelajari.Masih banyak dan banyak lagi..




tak sangka sungguh!


Yang dulunya tak pernah sentuh, tak suka langsung air 100 Plus, terus suka. Sebab nak segarkan badan lepas training.
Yang dulunya susah nak berhenti minum air berais, dapat juga tahan walaupun tewas jugak kadang-kadang. Haha. Maafkan saya cikgu.
Yang dahulunya tak suka langsung jogging dan berpeluh, terus suka (yeke?)
Yang dahulunya hanya berat tulang, kini berat dengan  muscle. (Ini tak boleh terima) ( -_-)

Dari sini, Allah kurniakan  insan-insan istimewa di sekeliling saya. Mereka sungguh ohsem. :)
Tahniah UTM! Juara keseluruhan kategori IPT. 

bergambar bersama YM Sheikh Dr Hj Md Radzi bin Hj Hanafi


Nota Kaki: target saya sudah tercapai. Wajadiri baru permulaan. Impian saya dalam silat masih banyak. Impian lain juga masih banyak yang belum dicapai. Lebih kurang enam bulan sahaja lagi menjadi warga Johor yang menumpang. Sebelum menjadi warga Selangor semula insyaallah.


Friday, March 8, 2013

Martial Art :Belajar bukan untuk berlawan, Tapi untuk pertahanan.




Assalamualaikum. :)

* Belek-belek surat khabar. Risau. 
Kes ragut, kes rompak, samun-menyamun, kes rogol, kes bunuh yang berleluasa.
AllahuRabbi.

Bagi saya seorang perantau yang duduk berjauhan dengan keluarga
Dan kebiasaanya bersendirian apabila pulang ke kampung halaman menaiki bas. 
Sering menimbulkan kerisauan pada diri saya sendiri apatah lagi pada kedua ibu bapa saya. 
Tambahan pula, saya satu-satunya yang duduk berjauhan tanpa ada saudara-mara terdekat di sini. 


Dari situ, saya mula bertekad mahu mempelajari ilmu pertahanan diri.
Penting. 
Kita sendiri tidak tahu ancaman dan bahaya yang menanti. 
Sekurang-kurangnya dengan mempelajari ilmu pertahanan diri, kita lebih yakin untuk berhadapan dengan orang sekeliling. 
Wanita terutamanya. 
Belajar bukan untuk berlawan.
Tapi untuk persediaan dan pertahanan.

Saya pilih untuk mempelajari silat cekak ustaz hanafi.



Sebab apa?

Sebab silat ini mudah seperti asalnya manusia berdiri tegak seperti dalam keadaan ketika menghadap Pencipta (solat), tidak berkuda-kuda dan sesuai untuk wanita.
99% menanti serangan, hanya 1% menyerang
Kebanyakan pergerakan dalam silat cekak ustaz hanafi diadaptasi daripada pergerakan solat.


Persatuan Seni Silat Cekak UTM  sedang menjalankan sesi pengambilan ahli baru. Sesiapa yang berminat boleh hubungi no yang tertera pada banner di bawah. :)

Sebarang info mengenai silat cekak ustaz hanafi, anda boleh berkunjung di alamat website:-






p/s : kadang-kadang macam tak caya macam mana pulak boleh terjebak dengan silat ni. Hehe

Saturday, February 9, 2013

Kuasa Doa :Babak Selipar dan Air Zam-zam



Assalamualaikum.

Err. Macam mama nak mula ni ye. Segan pulak singgah sini. Berhabuk sudah. Tengok post list, banyak betul draf-draf entry yang tak sempat untuk dikhatamkan penceritaannya.

Takpa. Kita mula balik sikit-sikit.

 Sambil-sambil blogwalking dan fbwalking ni, mata sesekala melihat pada skrin tv. Siaran TV Alhijrah menjadi pilihan. Pasang telinga mendengar celoteh Ustaz Elyas Ismail. Lucu juga ye beliau. Santai, tapi mesej sampai. Topik: kehebatan doa. Petang tadi di TV9 Tnyalah UStazah juga berkisarkan topik ini.

Bercerita tentang doa. Saya mula teringatkan peristiwa sewaktu mendapat jemputan untuk sama-sama turut-serta dalam misi Road to Saudi Arabia KSS-UTM.

Waktu itu, En Noraimi ( pengetua) sendiri menelefon bertanya sama ada saya ingin turut serta atau tidak. Allahu Rabbi. Indeed. Dalam hati waktu itu meronta-ronta untuk berkata "ya". Tapi atas kekangan yang tertentu, saya meminta sedikit waktu untuk memikirkan jawapannya kerana En Noraimi meminta untuk menyerahkan deposit secepat mungkin. Fakor kewangan menjadi keutamaan.

Sudah lah waktu itu saya tidak punya sebarang tajaaan/ pinjaman selama hampir setahun. Hanya bergantung kepada wang yang diberi ibu bapa setiap bulan. Kusut memikirkan soal ini. Tabungan yang ada tidak seberapa. Berkali-kali saya meminta pandangan dari emak. Dan saya masih tidak punya jawapan yang pasti. Istikharah dan doa tanpa putus. Tanpa diduga, saya mendapat satu panggilan daripada seorang teman.

"Salam, Nabila. Akak ni. Akak nak tanya lah. Kraf awak tu, awak amik tak tempahan untuk weeding? Akak nak survey untuk weeding abang akak"

Pertanyaan tersebut menjadi realiti. Tempahan sebanyak 1000 biji keychain untuk majlis perkahwinan. Allah. Tidak dapat kugambarkan perasaan waktu itu. Saya pasti benar ini merupakan antara rezeki yang Allah tunjuk bagi memudahkan perjalanan saya. Sememangnya ia benar-benar membantu. Dengan berkat hasil daripada membuat keychain ini ditambah dengan wang tabungan daripada akaun Tabung Haji saya, Alhamdulillah saya berjaya menyelesaikan bayaran tersebut.




Nahh. Hebatkan kuasa doa?

*Air Zam-zam

Mengimbas kembali memori di Tanah Suci. Teringat saya waktu di Masjidil Haram sewaktu kami berpuasa sunat beramai-ramai. Hari Khamis. Pagi itu kami melaksanakan ibadah umrah. Selesai miqat  di Masjid Aisyah, terus ke masjidil Haram untuk rukun tawaf pula. Entah bagaimana kami terpisah antara satu sama lain. Janjinya untuk bertemu di tempat sekian sekian setelah semua selesai tawaf. Tapi tidak ketemu.

Saya terpisah keseorangan. Telefon tiada untuk menghubungi mereka. Risau sebenarnya. Lantas, saya mengambil keputusan untuk saie sendirian dengan harapa mungkin bertemu mereka di pertengahan jalan. Dengan cuaca panas terik ditambah perut yang berbunyi, sungguh. Dugaan bagi orang yang berpuasa. Setiap 30 minit saya singgah ke bahagian tong air zam-zam. Lencun juga telekung ni habis dijirus dengan air.Lega seketika. Sehinggalah waktu Zohor tiba.



Selesai solat, saya mohon doa supaya diketemukan semula dengan teman-teman yang lain. Tergerak hati untuk ke tempat air zam-zam semula.. Akhirnya, saya bertemu dengan Jannah, tidak lama kemudian, datang pula Zulhelmi dan Zulfadzli. Alhamdulillah.

Rupanya salah faham berlaku tentang lokasi pertemuan semula kami sewaktu tawaf tersebut. Ada yang tunggu di tingkat bawah dan ada yang tunggu di tingkat atas.



Nah. Saya dibawa mereka ke tingkat bawah. MasyaAllah. Sejuk sungguh. Patut bahagia je muka mereka. Hehe. Kami duduk di satu sudut. Sejuk sehingga lena tidur masing-masing. Sesekala mata memerhati jemaah-jemaah yang sedang ber saie. Perut pula tak berhenti dari berkeroncong.

hampir waktu Maghrib, disebabkan tiada makanan untuk dijamah, hanya air zam-zam sahaja. Perut meminta nasi. Waktu azan semakin hampir, saya cuma mampu berdoa, dengan minum air zam-zam ini insyaAllah saya akan kenyang dan tidak mengganggu urusan ibadah selepas itu.



Alhamdulillah. 6 gelas habis. Benar, kenyang sungguh. Sehingga sewaktu pulang ke hotel, kami dijamu dengan nasi arab. Tapi masing-masing hanya menjamah sedikit sahaja. Barangkali dek kerana kenyang minum air zam-zam. Hehe




*Selipar

 Hari keberapa kurang pasti. Seingat saya pada waktu Zohor. Kami ke masjid sedikit lewat ketika, berjalan dari hotel ke masjid dengan jarak yang agak jauh. Cuaca panas terik. hampir 40 darjah celcius.

Berjalan dengan pantas sehingga tiba di  pintu Marwah. Mengah-mengah rasanya. Imam sudah mula bacaan. Kami segera meletakkan selipar masing-masing di bahagian tepi tiang sedikit tersorok. Ada yang meletakkan di dalam bungkusan bag.


Kisahnya, selesai sahaja solat. Hati terdetik.

"Agaknya selamat tak selipar aku kat luar tu. Biasanya kitorang letak kat dalam. Kali ni letak kat luar pulak. Dahla banyak kes hilang selipar ni"

Pertanyaan itu hanya berlegar dalam fikiran buat seketika.


Selesai semuanya, kami bercadang untuk pulang semula ke hotel untuk menjamah hidangan tengahari. Sampai di Pintu Marwah, masing-masing lantas mencapai selipar. Eh, selipar saya tiada. Begitu juga selipar kepunyaan seorang lagi teman saya. Allah. Tersenyum di hati. Lantas saya terfikir kembali apa yang saya omelkan di dalam hati sebelum ini.

Nah. Kan Allah balas cash. Sedangkan itu baru terdetik dalam hati. :)

Kerap kali saya berfikir semula, Allah hebatnya kuasaMu. Bagaimana seorang pelajar seperti saya dan teman-teman yang lain, yang tidak punya sumber pendapatan sendiri akhirnya bisa menjejakkan kaki ke Tanah Suci?

 Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar.








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 


JKM KSS UTM,KL 08/09

JKM KSS UTM,KL 08/09

JKM KSS UTM,KL 09/10

JKM KSS UTM,KL 09/10