Pages

Saturday, July 28, 2012

"Aku sebagaimana yang hambaKu sangkakan"




Segala puji bagi Allah!

Jumaat semalam menjadi peristiwa yang takkan saya lupakan sampai bila-bila, Insha'Allah..

Selesai menyampaikan ceramah, seorang kakak mendekati saya..

"Ustazah, boleh saya cakap sedikit dengan ustazah", air mata tiba-tiba bergenang.

"Ye, boleh kak.." saya pantas membalas. Ada sedikit perasaan risau dalam diri saya.

"Ustazah, masih ingat tak sebelum ustazah pergi umrah dulu..kakak ada minta ustazah doakan sesuatu?" beliau cuba mengatur kata-kata untuk mengingatkan saya.

"Err..minta maaf kakak, doa yang mana satu ye?" saya cuba mendapat kepastian, banyak sangat doa yang dikirimkan para jemaah ketika itu.

"Yang kakak minta ustazah doakan kat Mekah, agar impian kakak untuk menunaikan umrah satu keluarga dalam dimakbulkan Allah," katanya dalam keadaan sebak.

"Oh ye, elly masih ingat kak..masih ingat. Elly memang buka surat akak, baca doa tu menghadap kaabah, di masjidil haram..malah sempat share dengan kawan berkenaan impian akak tu..
(kagum, impian beliau sangat tinggi..nak satu keluarga plak tu)
sebelum akak bagi surat tu pun, akak kan ada approach elly face to face untuk doakan hal ni.."

sejujurnya saya cuba mengiyakan tapi dalam hati masih ragu, apa sebenarnya yang ingin cuba disampaikan beliau kepada saya.

"Ustazah, padahal ustazah pun tahu..yang akak kan pernah cerita kat ustazah, yang kami ada masalah kewangan kan," suara beliau menggeletar, tiba-tiba jadi makin sayu..

Lantas memeluk saya.

"Ustazah, terima kasih sangat doakan akak..akak baru sahaja balik dari menunaikan umrah satu keluarga, Allah dengar.." pelukan beliau terhadap saya semakin kemas.

..tiba-tiba sahaja Allah gerakkan hati mak untuk taja kami sekeluarga menunaikan umrah, ya Allah ustazah, kami betul-betul tak sangka.." sambung beliau lagi.

"Allahu Akhbar, tahniah kak..alhamdulillah!" saya pula yang sambung menangis.

Pelukan kami semakin erat.

"Terima kasih ustazah, akak termotivasi dengan perkongsian sebelum ustazah berangkat dulu tu..pasal kisah pada umrah kali pertama ustazah, yang ustazah berdoa agar dapat pergi lagi menunaikan umrah dalam masa terdekat..juga kisah pensyarah ustazah tu, macam mana impaknya apabila kita sentiasa bersangka baik pada Allah, Alhamdulillah..terima kasih ustazah.."

Beliau mengakhiri kata-kata pada hari tu dengan hadith Qudsi yang sering memotivasikan hidup saya selama ini,

"Ana 'inda zhonni, 'abdi bii.."
~..Aku sebagaimana yang hambaKu sangkakan..~

hampir saya berputus asa kerana sebuah dugaan yang tak disangka-sangka menjengah dalam hidup saya..

Tiba-tiba sahaja saya diketuk kembali dengan tazkirah yang pernah saya sendiri sampaikan dan hampir saya lupa dengan janji Allah itu..Subhanallah, Terima kasih Allah!



Perkongsian daripada Finalis rancangan realiti Solehah TvAlhijrah- Wan Suhaili


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Rindu tak terkata  pada dua kota suci Mekah dan Madinah. 
Ya Allah, jemputlah kami menjadi tetamu-Mu lagi Ya Allah. 



* Bercita-cita untuk menjejakkan kaki di Baitul maqdis pula. Ameen~
Baitul Maqdis, tempat ketiga paling suci bagi umat Islam.

Tidak diwajibkan membuat pelayaran kecuali kepada tiga masjid iaitu Masjid Al-Haram dan Masjid aku ini (Masjid Nabi s.a.w di Madinah) dan Masjid Al Aqsa.




Thursday, July 19, 2012

Saat kematian Saidina Umar Al-Khattab










Pada 23 Zulhijjah tahun 23 Hijrah Umar al Khattab dibunuh oleh Abu Lu’lu’ dalam masjid ketika menjadi imam sembahyang subuh. Setelah menikamnya sebanyak 6 kali maka Abu Lu’lu’ cuba melarikan diri namun dihadang oleh ahli jemaah yang berada dibelakang Umar al Khattab. Abu Lu’lu’ yang bersenjatakan pisau bermata dua sempat menikam 13 orang sebelum membunuh diri.

Dalam keadaan luka parah dan menahan kesakitan Umar al Khattab menyuruh Abdul Rahman Auf menjadi imam sembahyang. Selesai sembahyang baru mereka mendapatkan Umar al Khattab yang sedang terbaring berlumuran darah.

“Siapa yang menikamku?” tanya Umar al Khattab.

“Abu Lu’lu’ hamba Mughirah Syu’bah,” jawab Abdullah.

“Syukur kepada Allah kerana aku tidak dibunuh orang Islam,” ujar Umar al Khattab.

Datang seorang tabib cuba memberikan rawatan. Kemudian diberinya minum tetapi minuman itu keluar dari perutnya yang luka. 

“Wahai Amirul Mukminin, sudah tiba masanya,” kata tabib itu.

Orang ramai menangis tetapi ditegah oleh Umar dengan berkata. 
“Jangan kamu menangis. Nabi bersabda orang yang mati terazab dengan tangisan keluarganya.”

Kemudian Umar al Khattab memanggil anaknya Abdullah supaya menemui Aisyah isteri Rasulullah saw mohon kebenaran disemadikan bersebelahan dengan kubur baginda. Aisyah membenarkan dengan berkata . “Sebelum ini aku telah menyimpan tempat itu untuk aku tetapi hari ini aku menyerahkannya kepada Umar.”

“Wahai Amirul Mukminin, apakah tuan akan melantik Abdullah bin Umar sebagai pengganti?” tanya Al Mughirah.

“Demi Allah, aku haramkan keluarga dari jawatan ini…” jawab Umar al Khattab.

Kemudian Umar al Khattab menamakan 6 orang sebagai calun khalifah mereka ialah Uthman Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf dan Sa’ad bin Abi Waqas. Mereka akan dipilih oleh ahli majlis syura.

Kemudian Umar al Khattab memberi wasiat kepada anaknya Abdullah bahawa beliau mempunyai hutang sebanyak 8 ribu dirham. “Jual semua hartaku untuk membayarnya. Jika tidak cukup kamu yang membayarkannya.”

Ali bin Abi Talib memandi dan mengkafankan Umar al Khattab. Kemudian beliau berkata. “Demi Allah, orang yang diselubungi kain kafan ini begitu cinta untuk menemui tuhannya.”

Jenazah Umar al Khattab disembahyangkan di masjid dengan Suhaib menjadi imamnya. Kemudian disemadikan bersebelahan dengan kubur Rasulullah saw dan Abu Bakar as Siddiq.

Orang yang turun ke liang lahad adalah Uthman Affan, Sa’id bin Zaid, Suhaib bin Sinan dan Abdullah bin Umar.

Kubur tiga sahabat sejati itu sentiasa dikunjungi orang ramai hingga ke hari ini. Setelah menziarahi dan berdoa di makam Nabi Muhamad saw dan Abu Bakar teruslah berdoa untuk Umar al Khattab pula.

“Salam sejahtera ke atasmu wahai yang menzahirkan Islam secara terang-terangan. Salam sejahtera ke atasmu wahai yang telah diberi gelaran al Faruq yang memisahkan antara yang benar dan salah, salam sejahtera ke atasmu yang sentiasa bercakap benar serta memelihara anak yatim dan menghubungkan kasih sayang dan engkaulah yang menjadikan agama Islam kuat dan gagah. Maka terima lah salam sejahtera serta rahmat dari Allah ke atasmu.”





sumber : facebook Abdul Latip ( Penulis buku)

Monday, July 16, 2012

Anak-anak acuan Al-Quran



Pagi-pagi sebelum buat sarapan, bukak TV9, sarapan 'rohani' dulu dengan rancangan Tanyalah Ustaz. Sambil-sambil buat kerja lain, telinga pasang. Multi-tasking katanya. Dua-tiga hari lepas, ada terbuka rancangan "Pesan Atok". Kalau tengok iklannya mesti tengok stail budak-budak ni semangat betul.

"kita berjumpa lagi dalam rancangannn.." 
"Pesan Atokk.! " ( sambil menunjukkan gaya 'good' dengan ibu jari ke arah atok)



Atok yang dimaksudkan ialah Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz. Masa tu, ada satu slot di mana, seorang kanak-kanak yang berusia 5 tahun mempersembahkan hafazan surah Luqman. Namanya Darwisya. Lancar sungguh. Sebelum umurnya empat tahun lagi, Darwisya sidah boleh menghafal surah-surah panjang seperti Al-Mulk, As-Sajadah dan Al-Waqiah secara serentak.

Pada umurnya dua tahun lapan bulan, dia sudah menghafaz lapan surah pendek dan pada usia tiga tahun dua bulan, dia sudah boleh menghafaz 30 surah pendek.Darwisya juga sudah diuji oleh Akademi Darul Huffaz serta mendapat sijil hafazan 30 surah terakhir daripada akademi tersebut. 


boleh baca di sini http://airasolehah.blogspot.com/2010/06/perdengar-al-quran-sejak-bayi.html









Tuesday, July 10, 2012

Kenapa Jodoh Tak Kunjung Tiba?







Beberapa hari lalu saya bersembang dengan Najwa tentang perkahwinan.



“Najwa, nanti bila dah dewasa nak abah dengan mama carikan calon suami atau nak cari sendiri?”



“Apalahlah Abah ni, lambat lagilah nak kawin. Not interested to discuss this topic. NEXTTTT” jawab Najwa selamba.


“Awa, nanti bila Awa dah kahwin kan, Awa nak anak berapa ya?”

“Ish Abah ni, tak habis lagi rupanya. Awa tanya abah baliklah, ha nanti Abah nak cucu berapa?”

“Abah nak ramai cucu. Nanti senang nak pilih mana satu nak wrestling dengan atok diorang. Best cucu ramai ni tau”

Mengekek kami ketawa.

Saya dan Ain berkahwin pada usia yang muda (dalam konteks zaman kami dianggap muda bila berkahwin pada usia 24). Pada usia 25 kami dikurniakan Najwa. Indahnya dianugerahkan anak pada usia berkenaan menyebabkan saya dan Ain tidak punyai masa untuk berseronok-seronok ke sana sini melalui zaman bujang kami.Ramai kawan-kawan yang mengusik Ain dan saya (kerana kami sebaya) semasa kami hulurkan kad jemputan perkahwinan.

“Wah, cepatnya kahwin. Amboi tak tunggu lama pun ya?”

“Ewah, terus ngap sayot aja ya? Kenal 6 bulan terus nak kahwin dah. Tak enjoy dulu Naz? Rugi tau tak enjoy”

“Baru umur 24 korang dah nak kawin? Ekonomi tak stabil lagi. Gaji baru berapa sebab baru kerja. Nanti belum apa-apa dah ada anak. Perempuan cepat nampak tua bila dah beranak pinak tau. Nanti tak sampai 30 tahun dah macam 40 an”

Semua usikan ini kami hanya balas dengan senyuman.

Disember ini usia perkahwinan kami mencecah 16 tahun. Anak-anak juga sudah ada yang remaja. Najwa sudah 15, Najman 13 dan Najmi 11 tahun. Lucunya bila berjumpa teman-teman yang mengusik dahulu lain pula nada usikan mereka.



“Eh dah ada anak dara dah kau Naz. Dua hero nipun dah bujang dah haa. Aduhai, anak aku baru sekolah tadika anak kau pulak dah tak lama nak masuk universiti”


“Adui, ruginya kahwin lewat ni. Untung kau Ainon. Najwa dah macam adik beradik dah dengan mamanya.”

Sekali lagi kami tersenyum.

Teringat saya satu cerita yang pernah kami sembangkan di suatu petang semasa Najwa masih berusia 3 tahun

“Ain, nanti kan masa umur kita 50 tahun, Najwa dah 25 usianya. Dah keluar universiti dah. Bolehlah dia tanggung belanja adik-adiknya nanti”

“Entah-entah dia ikut jejak kita bang, habis belajar terus kahwin. Belum pencen dah bercucu dah kita agaknya.

Abang tau tak masa kat office kan, kadang-kadang we just know that we have shifted gears and moved on in our life as compared to our peers?” Balas Ain.

Tekun saya memasang telinga.

“Tadi masa kat office, sembang masa lunch dengan kawan-kawan. Ada yang sama umur dengan kita, ada yang senior. 

Masa geng yang dah ada anak-anak kecil macam kita sembang pasal pampers, ruam lampin, anak dah mula merangkak, yang tumbuh gigi ada yang lagi senior usianya dari kita dan belum berkahwin bersembang perkara-perkara yang kita dah tak boleh nak relate dah tau bang?”

“Hmm..abang tak faham ni, maksud Ain?”

“Mereka ni cerita benda-benda macam erm.. nanti nak kahwin nak lelaki yang hensem, yang ada kumis, ada yang kata nak lelaki seksi ada bulu dada. Ish, dah tak boleh masuk dah kita dalam cerita-cerita macam ni.

Bila fikir kan bang, kesian sebenarnya. Apalah yang kawan-kawan kita yang belum kahwin tu cari agaknya dalam pasangan mereka kan?

Nak cari Mr Perfect agaknya. Tinggi sangat benchmarknya. Sampai sekarang masih sendiri. 

Mereka ni semua sunyi tau bang?. Tak ada pasangan yang nak kongsi kegembiraan, sedih, mengadu, kesian kan?”

Saya terdiam seketika cuba menyusun ayat

“ Mana ada manusia sempurna kan Ain? Semua kita ni ada kekurangan. Yang sempurna tu Allah SWT. 

Setiap pasangan tu memang ditakdirkan jodohnya saling melengkapi. Kurang si lelaki ditampung isteri. Macam tu jugak sebaliknya. Macam kita ni kan saling melengkapi kan?”

“Maksud abang?” Desak Ain inginkan kepastian

“Macam kita nilah. Ain suka dengar, abang yang banyak cakap. Abang tak pandai matematik, Ain ada degree dalam matematik. Kalau makan ayam goreng, Abang tak suka peha ayam tapi sukakan bahagian kepak dan dada. Ain pulak sebaliknya. 

Kan saling melengkapi tu.

Sepatutnya kita ni memang kena memilih tapi harus bertempat. Kita boleh letak senarai KPI yang kita kehendaki dari pasangan kita tu tapi tak bolehlah kesemua KPInya nak dipenuhi. Kalau ada katalah sepuluh perkara yang kita nak dari pasangan kita. Janganlah nak dapatkan kesemua sepuluh kriteria baru nak kahwin. Dapat tujuh jadilah dulu. Tiga lagi kriteria tu kita binalah dalam alam rumahtangga.

We have to be practical as we do not live in an ideal world”. Jelas saya

Ain mengangguk.

“Wah pandai abang matematik tu. Dah siap pakai percentage dan nisbah bagai tu ha” Usik Ain.

Berderai ketawa kami berdua.

Apa yang kita tunggu sebenarnya? Kenapa jodoh kita tak kunjung tiba?

Saya nak kongsikan sedikit apa yang saya temui di dalam buku yang di hadiahkan sepasang teman rapat saya.

Buku ini bertajuk Inspirasi cinta terhebat. Intailah mukasurat 3 seksyen tengah bertajuk 

“Ya Allah, Aku tak ingin sendiri – Kenapa jodoh tak kunjung datang?”

Persoalan yang saya tanyakan tadi disusul soalan dalam buku yang ditulis Burhan Sodiq dengan bersahaja. 

Bila ditanya tentang jodoh apa yang kita lakukan sebenarnya dalam menangani hal jodoh?
Adakah kita memilih menunggu dan terus menunggu, sambil berharap penuh cemas?
Atau adakah kita akan melakukan ‘sesuatu’, agar jodoh itu datang menyapa?
Soal jodoh ini bukan soal enteng kan?

Saya pasti perasaan seseorang yang menanti jodohnya datang tapi tak juga kunjung tiba akan bercampur baur perasaan cemas, kecewa dan lambat laun perasaan ini menjadi tekanan yang berlarutan apabila orang sekeliling mula mendesak dan menyakitkan dengan soalan-soalan sensitive yang bertubi-tubi.

Bila kita ke kenduri kendara contohnya. Sosek-sosek orang kampung bertanya pada ibu dan ayah kita;

“Ish anak kamu tu lawa orangnya, berpendidikan pulak, apa lagi yang dicarinya tu bang/kak? Atau

Lewat sangat usianya anak abang tu dah tu, takda calon lagi ke?”

Kalau sekali dua mungkin tahan cuping telinga, tapi kalau selalu? Saya ada teman yang masih solo bercerita yang dia serik pulang ke kenduri kendara sanak saudara kerana serik diaju soalan-soalan sebegini.

Mungkin ramai yang masih seorang di luar sana memberi berbagai jawapan pada rasional kenapa masih membujang. Barangkali ada yang mengatakan belum ada calon yang sesuai, ekonomi belum stabil, masih belajar lagi, takut terkongkong dan sebagainya. Terpulanglah.

Suka saya kongsikan konteks murah rezeki selepas berumahtangga mengikut Al-Quran yang disebutkan di dalam Surah An-Nur ayat 32;

“Dan nikahilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang patut (menikah) daripada hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi maha mengetahui” 

dan mafhum hadis riwayat Imam Dailami dalam Musuad-al-Firdaus ;

“Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga)”

Sebab itulah orang tua-tua kata jangan risau lepas berkahwin dan punyai anak tak cukup bagi anak-anak makan, adalah ‘rezeki anak’ tu nanti.

Pernah dengar kan begitu?

Pada sahabat-sahabat lelaki yang masih bujang ketahuilah bahawa terdapat tiga kunci kebahagiaan suami dalam isteri yang solehah iaitu; 

1. Jika dipandang membuat semakin sayang, 
2. Jika kamu pergi membuat tenang kerana dapat menjaga 
kehormatannya dan;
3. Taat pada suami

Pilihlah bakal isteri kerana agamanya kerana Imam Tabrani meriwayatkan dari Anas bin Malik R.A bahawa Rasullullah S.A.W pernah bersabda;

“Barangsiapa yang menikahi wanita kerana kehormatannya (jawatannya), maka Allah SWT hanya akan menambah kehinaan; barangsiapa yang menikah kerana hartanya, maka Allah SWT tidak akan menambah kecuali kefakiran; barang siapa menikahi wanita kerana hasab (kemuliaannya), maka Allah SWT hanya akan menambah kerendahannya. Dan barangsiapa yang menikahi wanita kerana ingin menutupi (kehormatan) matanya, membentengi farji (kemaluannya) dan mempererat silaturrahim, Maka Allah SWT akan memberi barakah-Nya kepada suami isteri tersebut.”

Janganlah kita jadikan alasan pernah kecewa, inginkan perkahwinan yang glamour umpama puteri raja, tak mampu kerana mas kahwin dan hantarannya mahal, cacat anggota dan rasa rendah diri, tidak boleh kahwin tanpa bercinta dahulu, langkah bendul dan sebagainya sebagai halangan untuk berumahtangga.

Moga yang masih mencari bertemu yang dihajati dan segera membina istana bahagia. Insyaallah :)

Tuesday, July 3, 2012

Saham Akhirat









Madrasah Hashimiah yang menempatkan anak-anak pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim. Boleh layari link di bawah untuk maklumat lanjut. 


Ayuh, bantu mereka. 

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya.” – (Riwayat Muslim )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 


JKM KSS UTM,KL 08/09

JKM KSS UTM,KL 08/09

JKM KSS UTM,KL 09/10

JKM KSS UTM,KL 09/10